← Back to portfolio

Penjiplakan dalam Penulisan Kreatif

Idea sama, olahan berbeza. Adakah ini dapat dikategorikan sebagai penjiplakan? Menurut DBP, penjiplakan atau plagiarisme dimaksudkan sebagai perbuatan mencedok kata-kata, idea, dan lain-lain daripada karya orang lain dan meng­gunakannya sebagai karyanya sendiri. Merujuk kepada definisi ini, kesamaan idea juga dikategorikan sebagai penjiplakan.

Dalam penulisan kreatif, kesamaan idea tidak dapat dielakkan. Penulisan kreatif tertumpu kepada watak cerita dan kisah kehidupannya yang seringkali diinspirasikan daripada persekitaran, pemerhatian dan pengalaman penulis sendiri. Pengalaman seseorang itu adakalanya sama seperti pengalaman orang lain. Yang berbeza ialah cara seseorang itu menghadapi pengalaman tersebut.

Seorang penulis mempunyai gaya, sudut pandangan dan aura penulisan yang berbeza-beza. Ini yang membezakan seseorang penulis dengan penulis yang lain. Mempunyai idea yang sama bukan satu dosa besar dalam penulisan. Malah ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Ini berbeza dengan penulisan akademik seperti tesis dan jurnal yang menumpukan kepada hasil kajian yang lebih spesifik sifatnya. Tambahan pula, dengan menggunakan perisian Turnitin, plagiarisme dalam sesebuah manuskrip tesis dapat dikesan dengan mudah.

Meskipun mempunyai idea yang sama yang pernah diketengahkan oleh penulis lain, garapan bijak seseorang penulis itulah yang akan mengangkat karyanya. Gaya penulisan, secara tidak langsung ialah gambaran kepada pola pemikiran si penulis. Di sinilah kematangan seseorang penulis dapat dinilai. Kebijaksanaan penulis menyulam perwatakan antara watak-watak akan menjadikan ceritanya hidup dan tidak bosan dibaca.

Mungkin idea sama yang didefinisikan oleh DBP bermaksud, sama idea, sama jalan cerita yang berlatarbelakangkan watak dan perwatakan yang sama meskipun disusun menggunakan pemilihan diksi yang berbeza.

Bagi mengelakkan terjadinya senario ‘tertiru secara tak sengaja’, salah satu cara ialah amalkan untuk tidak membaca karya penulis lain ketika menyiapkan manuskrip. Selain itu, sentiasa berfikir untuk menulis jalan cerita yang di luar kotak dan bukan yang sedang popular di pasaran. Ini adalah risiko yang penulis kreatif perlu pertimbangkan jika ingin menjadi penulis yang lain daripada lain.

Malangnya, rata-rata pembaca masih lagi mencari yang klise, yang mudah dihadam dan bersifat santai-santai. Jika niat penulis mahu menjadi popular, tulislah sesuatu yang popular. Jika niat penulis mahu menjadi penulis luar kotak, bersedialah untuk tidak menjadi popular. Walaupun tidak banyak bilangannya, masih ada penulis seumpama ini yang menulis bukan kerana populariti tetapi kerana kepuasan diri sendiri dan demi memenuhi tuntutan pembaca tegarnya yang sentiasa dahagakan sesuatu yang di luar kotak.

Nota: Untuk pertanyaan mengenai penulisan artikel | penyuntingan | penterjemahan, sila emel ke izzaproedit@gmail.com.

0 Comments Add a Comment?

Add a comment
You can use markdown for links, quotes, bold, italics and lists. View a guide to Markdown
This site is protected by reCAPTCHA and the Google Privacy Policy and Terms of Service apply. You will need to verify your email to approve this comment. All comments are subject to moderation.